Terkini

Perkara yang perlu dilakukan jika kenderaan anda dilanggar dari belakang

Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap kita dengar tentang terjadinya kemalangan di jalan raya. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya kemalangan antaranya kecuaian, mabuk, mengantuk, bermain telefon pintar dan lain-lain lagi.


Bagi mereka yang tidak pernah berhadapan dengan situasi ini mungkin akan terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bertenang dan ikuti langkah-langkah yang berikut.

Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika kenderaan anda dilanggar dari belakang ialah jangan panik dan sentiasa bertenang. Dari segi undang-undang jalan raya Malaysia, secara teknikalnya anda tidak bersalah asalkan anda memandu dilaluan yang betul dan tidak menukar lorong secara tiba-tiba. Apabila sudah bertenang, keluar dari kereta dan lihat sekeliling dan cuba fahami apa yang berlaku.

Jika kemalangan berlaku di tengah jalan atau dijalan raya yang sibuk, pandu/tolak kenderaan anda ketempat yang lapang dan selamat untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Jangan terus bergaduh disitu kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah dan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang akan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Kemudian, ambil telefon pintar dan keluar dari kereta untuk menangkap gambar. Terdapat tiga gambar penting yang anda perlu ambil iaitu gambar dekat (close-up), gambar jauh dan cukai jalan.

Apabila pemandu yang melanggar kenderaan anda keluar dari kereta, tegur dengan baik dan jangan menggunakan bahasa kasar yang mungkin akan mengeruhkan keadaan. Jangan anda sesekali meminta maaf kerana itu hanya akan menunjukkan anda bersalah yang akan membuatkan pelanggar cuba menguasai anda.

Tanya dengan baik kenapa dia melanggar kenderaan anda. Sebolehnya, kawal kemarahan, elakkan provokasi dan jangan bergaduh. Selalunya pada masa ini masing-masing akan cuba menyalahkan antara satu sama lain. Selepas itu, minta kebenaran untuk mengambil gambar kad pengenalan atau lesen memandu pelanggar.

Jika dia mengaku bersalah, tidak perlu meminta wang daripadanya. Minta dia untuk tanggung kos pembaikan kenderaan anda. Disarankan untuk pergi ke bengkel yang selalu anda pergi untuk menilai berapa kerosakan kenderaan anda dan jangan menangguh.Jangan lupa untuk ambil nombor telefon atau kad bisnes pemandu tersebut supaya mudah untuk anda hubungi.

Namun, jika pemandu tersebut tidak mengaku bersalah, jangan paksa dia. Maklumkan bahawa menurut undang-undang, kenderaan yang melanggar kenderaan lain dari belakang adalah kecuaian kenderaan yang melanggar. Jika pemandu tersebut tetap berkeras tidak mahu menanggung kerugian, tidak mengapa, biarkan sahaja. Jangan anda serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Kerana anda telah mendapat segala info yang diperlukan.

Terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Laporan polis perlu dibuat dalam masa 24 jam dari masa kejadian. Terdapat beberapa butiran yang akan diperlukan untuk membuat laporan seperti tarikh dan masa, nama pihak yang terlibat, nombor kad pengenalan, lesen memandu dan nombor pendaftaran kereta dua-dua pihak.

Dengan laporan polis tadi, pergi ke JPJ  dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan yang melanggar anda tadi.

Akhir sekali, bawa laporan polis, geran kereta, cover note insurans ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka untuk menguruskan 3rd party claimuntuk membaiki kerosakan kenderaan anda.

PERINGATAN!

Terdapat beberapa perkara yang anda perlu ingat jika terlibat dengan kemalangan jalan raya:
  • ·     Jangan sesekali mengambil sebarang peralatan yang merbahaya seperti parang, steering lock, kayu atau apa-apa yang boleh menimbulkan pergaduhan kerana anda mungkin akan dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta awam.
  • ·       Elakkan dari membuat rundingan dengan pihak lain.
  • ·   Jangan memandai-mandai menawarkan penyelesaian atau bersetuju dengan apa-apa tawaran sebelum berbincang dengan ejen insurans anda atau Pusat Bantuan Kemalangan (AACC) untuk mendapatkan nasihat.
  • ·    Jangan menandatangani apa-apa dokumen kecuali anda yakin dan tahu isi kandungan dokumen itu.
  • ·      Tidak perlu bazirkan duit untuk trak tunda yang tiba-tiba datang. Anda boleh menelefon  pihak insurans untuk dapatkan khidmat trak tunda percuma (purata jarak sekitar 60km) tanpa perlu membayar apa-apa.


No comments